Khamis, 26 Mac 2009

Tahniah : Sila tunggu selepas 3 tahun

Dari peringkat pemilihan cawangan, seterusnya ke bahagian hingga ke pusat, sesuatu yang menjadi budaya di dalam UMNO (tidak kurang juga di luar UMNO) adalah mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang terpilih menyandang jawatan bagi 3 tahun berikutnya.

Apabila saya telah dipilih sebagai pemegang jawatan di dalam parti, ucapan tahniah bertalu-talu masuk melalui SMS dan telinga.

Untuk tidak berlaku kurang sopan dengan menolak pemberian 'tahniah' tersebut, saya mengucapkan terima kasih kepada yang memberikan tahniah.

Namun dalam minda saya bertanya, apa yang telah saya lakukan?

Apakah yang telah saya sumbangkan kepada parti sehingga layak untuk ditahniahkan, sedangkan hanya baru beberapa ketika nama saya diumumkan sebagai penyandang jawatan (baca: amanah)?

Adakah dengan lelehan air liur basi yang saya sumbangkan semasa tertidur akibat menunggu pengumuman keputusan pemilihan yang masih tak kunjung tiba walaupun sudah larut malam, melayakkan saya untuk menerima ucapan tahniah tersebut?

Tunggulah...

Tunggulah sehingga penggal selama 3 tahun ini berakhir.

Di penghujung penggal itu, nilailah seamanah mana saya telah jalankan tanggungjawab dan tugas saya.

Nilailah sebanyak mana sumbangan yang telah saya berikan sepanjang penggal.

Nilailah sejauh mana keikhlasan saya memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair saya.

Di penghujung penilaian, terpulanglah...

...tahniah atau takziah atau tak nak dah... saya akan terima dengan hati yang amat senang kerana saya telah dinilai berdasarkan apa yang telah saya lakukan, bukan kerana apa yang mungkin atau akan saya lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan