Isnin, 20 April 2009

Resolusi BPN Bil. 6/2009 : Video Palsu Mencemarkan imej Perdana Menteri Malaysia Oleh Pembangkang

1. BPN merasa sangat kecewa, sedih dan marah dengan tindakan seorang bergelar Malaysianews yang telah membuat video klip menghina Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Najib Tun Razak.

2. Ini kerana jelas ucapan yang diubah dan dicantum menzahirkan satu gambaran palsu yang berbeza sama sekali dengan ucapan sebenar YAB PM dan boleh menimbulkan keresahan berpanjangan rakyat yang pasti akan marah dengan tindakan tersebut.

2. BPN merasakan perbuatan ini sangat kotor, jijik dan tidak berbudi pekerti yang mulia kerana ia melibatkan maruah seorang Ketua Kerajaan bagi negara Malaysia.

3. Perbuatan sebegini perlu dihentikan dengan segera sebelum ia merebak atau menjadi perbalahan antara ahli parti politik pro atau anti kerajaan demi memastikan keamanan dan ketenangan rakyat Malaysia berkekalan sampai bila bila.

4. BPN mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan keras terhadap individu yang terlibat mencipta atau menyebarkannya, untuk menjadi pengajaran dan iktibar agar tidak lagi berulang pada masa masa akan datang.

Lihat Video

Rabu, 15 April 2009

Yang mana patut didahulukan?

Y.A.B Dato' Sri Najib Razak ada berkata dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 dengan ayat berikut:

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.


Manakala dalam ucapan penggulungan beliau sebagai Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2008, beliau menyatakan ramuan kepada pentadbiran kerajaan yang berkesan adalah Rakyat, Parti dan Kerajaan yang bermaksud kehendak rakyat perlulah terlebih dahulu difahami oleh parti yang mentadbir kerajaan sebelum dapat membentuk dasar dan tindakan kerajaan yang membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Dari kedua-dua ucapan Y.A.B Perdana Menteri tersebut, jelas kedudukan Rakyat diletakkan lebih terkehadapan dari kedudukan parti dan kerajaan.

Namun yang agak mengelirukan dalam hubungan Rakyat-Parti-Kerajaan di dalam 'Satu Malaysia' ini adalah, apa sebenarnya konsep atau semangat yang ingin dibawa oleh parti UMNO - parti yang di'presiden'kan oleh Dato' Sri Najib dan parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan Barisan Nasional yang ber'perdana-menteri'kan Dato' Sri Najib - apabila parti UMNO menerbitkan slogannya sendiri di laman web rasmi parti UMNO yang berbunyi : "Satu Malaysia. Rakyat Diutamakan. Pencapaian Didahulukan" ?

Selasa, 14 April 2009

Saya & Shafiqurrahman


Saya mendapat makluman dari seorang sahabat bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin akan mengumumkan pegawai lantikannya di Pejabat Pemuda UMNO Malaysia, Menara Dato' Onn, PWTC.

Ketika sedang menanti lif untuk ke Pejabat Pemuda UMNO Malaysia di aras 28, saya terserempak dengan salah seorang EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Sdra. Shafiqurrahman Bin Hj. Shamsuddin.

Beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Beliau telah mendapat undian kedua tertinggi untuk jawatan EXCO Pemuda iaitu sebanyak 569 undian.

Dari pertemuan singkat itu, mengesahkan perkhabaran yang saya terima mengenai beliau iaitu peri peramahnya serta senyuman yang amat senang sekali terukir dibibirnya.

Ia membuatkan beliau amat mudah untuk didekati dan mudah mesra apabila berbual dengannya.

Maka tidak hairanlah dengan perwatakannya itu sahaja boleh membantu beliau mendapatkan undian yang sebegitu banyak.

Isnin, 6 April 2009

Kabinet Rakyat


8 April dijangkakan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib akan mengumumkan barisan kabinet yang baru.

Ada yang mencadangkan agar bilangan menteri/kementerian yang ada sekarang dikecilkan.

Ada pula yang lebih menekankan kepada kualiti/kredibiliti mereka yang bakal menduduki barisan kabinet tersebut.

Bersesuaian dengan slogan baru dibawah pentadbiran YAB Perdana Menteri "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", maka saya mencadangkan agar YAB Perdana Menteri dapat mendahulukan rakyat dalam membuat keputusan untuk memilih/menilai bakal-bakal menteri yang akan berkhidmat untuk rakyat, bukannya untuk YAB Perdana Menteri.

Oleh itu, adalah wajar YAB Perdana Menteri mengumumkan terlebih dahulu 'kabinet bayangan'nya untuk melihat tindakbalas dan pandangan dari rakyat, sebelum sebarang lantikan dibuat.

Dengan kewujudan blog YAB Perdana Menteri, pastinya mudah untuk YAB berinteraksi dengan rakyat, memberikan penjelasan kewajaran keputusan beliau untuk memilih mereka yang akan menduduki kabinet, mendapat input dari rakyat dan sebagainya.

Walaupun YAB Perdana Menteri mempunyai hak sepenuhnya untuk melantik sesiapa sahaja menjadi ahli kabinetnya, namun dengan melibatkan dan mendahulukan kepentingan rakyat dalam keputusannya, YAB Perdana Menteri akan lebih mudah diterima oleh rakyat dan dilihat benar-benar memahami aspirasi rakyat.

Rabu, 1 April 2009

Isu "Kill Nizar" BANGKIT di akhbar

Pertembungan antara Bloggers Pembela Negara (BPN) dan BloggersNetwork@Malaysia (BNM) telah tiba ke tahap yang lebih kritikal.

Sebelum ini pihak BNM telah menolak untuk menyertai debat yang diadakan di ruang sembang maya dan menuntut diadakan perdebatan secara bersemuka antara BPN dan BNM.

Apabila pengendali laman blog Perak Bangkit menyiarkan artikel berkenaan Datuk Seri Mohammad Nizar dengan memaparkan gambar bertulisan "Kill Nizar", pihak BNM telah mengambil tindakan balas dengan membuat laporan polis terhadap laman blog Perak bangkit.

Mereka turut mengambil tindakan dengan mendedahkan identiti sebenar pengendali laman blog Perak Bangkit di laman-laman blog BNM. RUJUK SINI

Namun tindakan mereka akhirnya memakan diri mereka sendiri apabila individu yang didedahkan kemudiannya didapati bukanlah pengendali sebenar laman blog Perak bangkit.

Ekoran dari itu, individu tersebut telah membuat laporan polis terhadap beberapa Blogger BNM kerana bimbangkan keselamatan diri serta keluarganya.

Pada 31 Mac 2009, sebahagian kejadian di atas telah mendapat liputan dari akhbar Sinar Harian :

Menjadi tajuk utama akhbar Sinar Harian

Klik gambar untuk zoom

Kelihatan pihak BNM ataupun PAS cuba menampilkan imej mereka yang 'bersih' dan mengambil peluang untuk mencalarkan pula imej Barisan Nasional dengan membuat kenyataan seakan-akan pihak Barisan Nasional yang bertanggungjawab.

Sama ada Pesuruhjaya PAS itu tidak diberikan maklumat sepenuhnya atau cuba menyembunyikan hakikat bahawa pihak BNM telah melakukan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan, iaitu memfitnah individu yang tidak bersalah yang mana seterusnya mengakibatkan diri beliau serta keluarga terancam.

Kenyataan oleh Pesuruhjaya PAS tersebut telah dijawab oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di dalam akhbar yang sama, hari ini.

Klik gambar untuk zoom

Begitulah sedikit gambaran ringkas tentang apa yang berlaku berkenaan isu 'Kill Nizar' sehingga ke hari ini.

Sekiranya ada fakta yang tersalah atau perlu ditambah, harap dapat rakan-rakan BPN perbetulkan.

Saya telah mencadangkan kepada Yang Di-Pertua BPN supaya hal ini diperjelaskan secara kronologi dan terperinci -dari awal kejadian hingga yang terkini- di dalam satu 'posting' khas dengan tujuan untuk memberikan gambaran lengkap dan sebenar kepada ahli-ahli BPN.

Walaupun khalayak ramai pembaca akhbar tersebut melihat isu tersebut hanyalah satu sandiwara politik, tambahan lagi di musim pilihanraya kecil ini, namun kita di rangkaian BPN dan di alam siber ini tahu, tindakan pihak BNM membawa perkara ini kepada media cetak serta laporan polis yang dibuat, malah menggunakan taktik menggertak untuk menyaman blogger-blogger BPN juga, adalah satu 'pengisyhtiharan perang' terhadap BPN oleh pihak BNM.

Oleh itu, rakan-rakan ahli BPN sebagai pembela agama, bangsa dan negara mestilah memperlengkapkan diri dengan ilmu dan semangat untuk menangkis serangan-serangan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak BNM.

Bersamalah kita bersatu suara, bersatu arah dan bersatu akidah dalam menghadapi saat-saat perjuangan yang akan menjadi semakin getir ini.