Selasa, 17 Mac 2009

one PLUS one EQUAL ?

Bila dibangkitkan isu PPSMI ini, pastinya soalan yang wajib dikemukakan adalah: setuju atau tidak setuju untuk diteruskan atau dimansuhkan.

Bagi saya yang sempat menduduki peperiksaan UPSR yang baru diperkenalkan ketika itu, kemudian antara generasi penghujung pelajar yang menduduki SRP, rasanya memang tiada masalah jika matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu.

Apabila melihat pula kepada jumlah dan syllabus matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah ketika ini yang mungkin sekali atau dua kali ganda banyaknya dari apa yang saya pelajari dulu, rasanya pelajar zaman ini juga tidak mempunyai masalah untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan menggunakannya di dalam 2 matapelajaran yang berkenaan.

Pelajar luar bandar yang menghadapi kesukaran belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sehingga menyumbang kepada kemerosotan prestasi mereka di dalam 2 matapelajaran berkenaan, adalah antara alasan bagi mereka yang mahu memansuhkan PPSMI.

Bagi saya, alasan tersebut sebenarnya menghina para pelajar luar bandar ini dengan merendah-rendahkan kemampuan mereka, atau dengan ayat mudahnya, pelajar luar bandar ini 'tidak pandai'.

Seharusnya tidak timbul perbezaan antara kedudukan pelajar tersebut di dalam isu PPSMI ini sama ada di bandar atau di luar bandar. Jika ada pun perbezaan antara keduanya, hanyalah dari segi budaya hidup pelajar-pelajar tersebut.

Manakala dari segi kesungguhan dan kemampuan seseorang pelajar itu, adalah terletak pada pelajar itu sendiri tanpa mengira di mana dia berada.

Yang kurang pandai boleh menjadi pandai jika berusaha, yang pandai boleh berkurangan pandainya jika tidak berusaha mengekal atau menambah kepandaiannya.

Jika seorang manusia seperti Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dikatakan boleh bertutur dengan fasih dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu, tidaklah pula beliau dilihat hilang identiti keMelayuannya.

Oleh itu, alasan yang mengatakan penggunaan Bahasa Inggeris boleh menyebabkan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu semakin terpinggir juga tidak boleh diterima.

InsyaAllah, apabila anak-anak saya memasuki alam persekolahan nanti, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dorongan kepada mereka untuk berjaya di dalam pelajaran mereka, tidak kira apa jua matapelajaran atau apa jua bahasa yang diajarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan