Ahad, 15 Mac 2009

Baju USD$50,000 untuk Madihah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membeli pakaian angkasawan yang pernah dipakai oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang bernilai AS$50,000 (RM184,600).

Tujuan pembelian pakaian tersebut sebagai simbol kejayaan seorang bekas pelajar di bawah institusi Mara yang juga merupakan angkasawan Melayu pertama. (berita penuh...)

Dalam hal ini, saya perlu bersetuju dengan apa yang dinyatakan di dalam kebanyakan blog-blog pro-pembangkang bahawa ini adalah satu bentuk pembaziran di kala rakyat kini semakin tertekan dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum.

Baru-baru ini kita dipaparkan dengan kehidupan seorang pelajar cemerlang yang mendapat 20A dalam keputusan SPM tahun 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal.


Siapa sangka di sebuah rumah nelayan yang usang terdapat sebutir permata yang amat berharga, yang sekiranya digilap berterusan akan memancarkan kilauan yang boleh menerangi kegelapan generasi pewaris negara pada masa akan datang.

Suku sahaja dari harga baju tersebut sudah cukup untuk menaiktaraf atau membina semula sebuah rumah yang lebih selesa untuk Madihah sekeluarga.

Walaupun hidup dalam kemiskinan harta, namun kedua ibu bapa Madihah tidak pernah miskin dengan kasih sayang dan doa serta harapan untuk melihat adik Madihah berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang insan yang berguna di masa hadapan.

Adalah lebih baik MARA melaburkan peruntukannya untuk melahirkan bakal-bakal ahli profesional seperti Dr. Muszaphar daripada melahirkan simbol-simbol yang hanya boleh ditatap tetapi tidak memberikan apa-apa faedah kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan