Isnin, 7 Disember 2009

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kerajaan akan memulakan usaha menerbitkan dokumentari yang komprehensif mengenai riwayat dan perjuangan semua bekas Perdana Menteri mulai tahun depan.


Baru sekarang rancang nak buat. Harap mutu persembahannya nanti bertaraf antarabangsa, sesuai untuk tayangan di National Geographic. Bukannya sekadar persembahan slideshow Microsoft Powerpoint yang diDVDkan.

Sabtu, 15 Ogos 2009

Selasa, 12 Mei 2009

Sambut Ulangtahun UMNO Ke 63 di PWTC


Pertama kali saya menghadiri sambutan ulangtahun UMNO di PWTC.

Setelah 62 kali ianya di sambut, inilah pertama kali saya menyambutnya bersama pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO di dalam satu dewan untuk kali yang ke 63.

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib dalam ucapannya mengakui suasana sambutan kali ini agak meriah cuma dicacatkan sedikit oleh keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Namun itu bukanlah penghalang kepada UMNO untuk bangkit semula dengan semangat yang lebih kental untuk memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Selepas PM berucap, semua tetamu yang dianggarkan seramai 5,000 orang dihidangkan dengan jamuan yang disediakan oleh tukang-tukang masak PWTC sambil dihiburkan dengan persembahan muzik dari Kumpulan Bali-bali

Seperti biasa, saya menjalankan misi saya untuk bergambar dengan para pemimpin.

Agak sukar juga untuk mendapat peluang bergambar kerana kebanyakan pemimpin yang ada bergegas keluar dari dewan selepas jamuan, ataupun sibuk melayani individu-individu yang menghurungi pemimpin tersebut sama ada tetamu ataupun wartawan.

Antara yang bernasib baik dapat bergambar dengan saya :


Y.B. Dato' Hj. Noh Bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani / Ahli Majlis Tertinggi UMNO / Blogger - http://nohomar.blogspot.com


Sdra. Lokman Bin Adam, EXCO Pemuda UMNO Malaysia


Cuba teka telinga siapa... (Pembayang : Presiden kepada salah satu parti komponen Barisan Nasional)

Isnin, 20 April 2009

Resolusi BPN Bil. 6/2009 : Video Palsu Mencemarkan imej Perdana Menteri Malaysia Oleh Pembangkang

1. BPN merasa sangat kecewa, sedih dan marah dengan tindakan seorang bergelar Malaysianews yang telah membuat video klip menghina Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Najib Tun Razak.

2. Ini kerana jelas ucapan yang diubah dan dicantum menzahirkan satu gambaran palsu yang berbeza sama sekali dengan ucapan sebenar YAB PM dan boleh menimbulkan keresahan berpanjangan rakyat yang pasti akan marah dengan tindakan tersebut.

2. BPN merasakan perbuatan ini sangat kotor, jijik dan tidak berbudi pekerti yang mulia kerana ia melibatkan maruah seorang Ketua Kerajaan bagi negara Malaysia.

3. Perbuatan sebegini perlu dihentikan dengan segera sebelum ia merebak atau menjadi perbalahan antara ahli parti politik pro atau anti kerajaan demi memastikan keamanan dan ketenangan rakyat Malaysia berkekalan sampai bila bila.

4. BPN mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan keras terhadap individu yang terlibat mencipta atau menyebarkannya, untuk menjadi pengajaran dan iktibar agar tidak lagi berulang pada masa masa akan datang.

Lihat Video

Rabu, 15 April 2009

Yang mana patut didahulukan?

Y.A.B Dato' Sri Najib Razak ada berkata dalam ucapannya selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-6 dengan ayat berikut:

Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita. Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Dengan ini saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.


Manakala dalam ucapan penggulungan beliau sebagai Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2008, beliau menyatakan ramuan kepada pentadbiran kerajaan yang berkesan adalah Rakyat, Parti dan Kerajaan yang bermaksud kehendak rakyat perlulah terlebih dahulu difahami oleh parti yang mentadbir kerajaan sebelum dapat membentuk dasar dan tindakan kerajaan yang membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Dari kedua-dua ucapan Y.A.B Perdana Menteri tersebut, jelas kedudukan Rakyat diletakkan lebih terkehadapan dari kedudukan parti dan kerajaan.

Namun yang agak mengelirukan dalam hubungan Rakyat-Parti-Kerajaan di dalam 'Satu Malaysia' ini adalah, apa sebenarnya konsep atau semangat yang ingin dibawa oleh parti UMNO - parti yang di'presiden'kan oleh Dato' Sri Najib dan parti yang menjadi tunjang kepada kerajaan Barisan Nasional yang ber'perdana-menteri'kan Dato' Sri Najib - apabila parti UMNO menerbitkan slogannya sendiri di laman web rasmi parti UMNO yang berbunyi : "Satu Malaysia. Rakyat Diutamakan. Pencapaian Didahulukan" ?

Selasa, 14 April 2009

Saya & Shafiqurrahman


Saya mendapat makluman dari seorang sahabat bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin akan mengumumkan pegawai lantikannya di Pejabat Pemuda UMNO Malaysia, Menara Dato' Onn, PWTC.

Ketika sedang menanti lif untuk ke Pejabat Pemuda UMNO Malaysia di aras 28, saya terserempak dengan salah seorang EXCO Pemuda UMNO Malaysia, Sdra. Shafiqurrahman Bin Hj. Shamsuddin.

Beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Beliau telah mendapat undian kedua tertinggi untuk jawatan EXCO Pemuda iaitu sebanyak 569 undian.

Dari pertemuan singkat itu, mengesahkan perkhabaran yang saya terima mengenai beliau iaitu peri peramahnya serta senyuman yang amat senang sekali terukir dibibirnya.

Ia membuatkan beliau amat mudah untuk didekati dan mudah mesra apabila berbual dengannya.

Maka tidak hairanlah dengan perwatakannya itu sahaja boleh membantu beliau mendapatkan undian yang sebegitu banyak.

Isnin, 6 April 2009

Kabinet Rakyat


8 April dijangkakan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib akan mengumumkan barisan kabinet yang baru.

Ada yang mencadangkan agar bilangan menteri/kementerian yang ada sekarang dikecilkan.

Ada pula yang lebih menekankan kepada kualiti/kredibiliti mereka yang bakal menduduki barisan kabinet tersebut.

Bersesuaian dengan slogan baru dibawah pentadbiran YAB Perdana Menteri "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", maka saya mencadangkan agar YAB Perdana Menteri dapat mendahulukan rakyat dalam membuat keputusan untuk memilih/menilai bakal-bakal menteri yang akan berkhidmat untuk rakyat, bukannya untuk YAB Perdana Menteri.

Oleh itu, adalah wajar YAB Perdana Menteri mengumumkan terlebih dahulu 'kabinet bayangan'nya untuk melihat tindakbalas dan pandangan dari rakyat, sebelum sebarang lantikan dibuat.

Dengan kewujudan blog YAB Perdana Menteri, pastinya mudah untuk YAB berinteraksi dengan rakyat, memberikan penjelasan kewajaran keputusan beliau untuk memilih mereka yang akan menduduki kabinet, mendapat input dari rakyat dan sebagainya.

Walaupun YAB Perdana Menteri mempunyai hak sepenuhnya untuk melantik sesiapa sahaja menjadi ahli kabinetnya, namun dengan melibatkan dan mendahulukan kepentingan rakyat dalam keputusannya, YAB Perdana Menteri akan lebih mudah diterima oleh rakyat dan dilihat benar-benar memahami aspirasi rakyat.

Rabu, 1 April 2009

Isu "Kill Nizar" BANGKIT di akhbar

Pertembungan antara Bloggers Pembela Negara (BPN) dan BloggersNetwork@Malaysia (BNM) telah tiba ke tahap yang lebih kritikal.

Sebelum ini pihak BNM telah menolak untuk menyertai debat yang diadakan di ruang sembang maya dan menuntut diadakan perdebatan secara bersemuka antara BPN dan BNM.

Apabila pengendali laman blog Perak Bangkit menyiarkan artikel berkenaan Datuk Seri Mohammad Nizar dengan memaparkan gambar bertulisan "Kill Nizar", pihak BNM telah mengambil tindakan balas dengan membuat laporan polis terhadap laman blog Perak bangkit.

Mereka turut mengambil tindakan dengan mendedahkan identiti sebenar pengendali laman blog Perak Bangkit di laman-laman blog BNM. RUJUK SINI

Namun tindakan mereka akhirnya memakan diri mereka sendiri apabila individu yang didedahkan kemudiannya didapati bukanlah pengendali sebenar laman blog Perak bangkit.

Ekoran dari itu, individu tersebut telah membuat laporan polis terhadap beberapa Blogger BNM kerana bimbangkan keselamatan diri serta keluarganya.

Pada 31 Mac 2009, sebahagian kejadian di atas telah mendapat liputan dari akhbar Sinar Harian :

Menjadi tajuk utama akhbar Sinar Harian

Klik gambar untuk zoom

Kelihatan pihak BNM ataupun PAS cuba menampilkan imej mereka yang 'bersih' dan mengambil peluang untuk mencalarkan pula imej Barisan Nasional dengan membuat kenyataan seakan-akan pihak Barisan Nasional yang bertanggungjawab.

Sama ada Pesuruhjaya PAS itu tidak diberikan maklumat sepenuhnya atau cuba menyembunyikan hakikat bahawa pihak BNM telah melakukan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan, iaitu memfitnah individu yang tidak bersalah yang mana seterusnya mengakibatkan diri beliau serta keluarga terancam.

Kenyataan oleh Pesuruhjaya PAS tersebut telah dijawab oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin di dalam akhbar yang sama, hari ini.

Klik gambar untuk zoom

Begitulah sedikit gambaran ringkas tentang apa yang berlaku berkenaan isu 'Kill Nizar' sehingga ke hari ini.

Sekiranya ada fakta yang tersalah atau perlu ditambah, harap dapat rakan-rakan BPN perbetulkan.

Saya telah mencadangkan kepada Yang Di-Pertua BPN supaya hal ini diperjelaskan secara kronologi dan terperinci -dari awal kejadian hingga yang terkini- di dalam satu 'posting' khas dengan tujuan untuk memberikan gambaran lengkap dan sebenar kepada ahli-ahli BPN.

Walaupun khalayak ramai pembaca akhbar tersebut melihat isu tersebut hanyalah satu sandiwara politik, tambahan lagi di musim pilihanraya kecil ini, namun kita di rangkaian BPN dan di alam siber ini tahu, tindakan pihak BNM membawa perkara ini kepada media cetak serta laporan polis yang dibuat, malah menggunakan taktik menggertak untuk menyaman blogger-blogger BPN juga, adalah satu 'pengisyhtiharan perang' terhadap BPN oleh pihak BNM.

Oleh itu, rakan-rakan ahli BPN sebagai pembela agama, bangsa dan negara mestilah memperlengkapkan diri dengan ilmu dan semangat untuk menangkis serangan-serangan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak BNM.

Bersamalah kita bersatu suara, bersatu arah dan bersatu akidah dalam menghadapi saat-saat perjuangan yang akan menjadi semakin getir ini.

Isnin, 30 Mac 2009

Saya & ADUN Kuang


Menghadiri majis perkahwinan seorang sahabat di Sg. Buloh semalam, terlihat seorang tetamu istimewa sedang menjamah hidangan bersama keluarganya.

Tetamu tersebut adalah YB Abdul Shukur Bin Idrus, ADUN Kuang merangkap Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor.

Walaupun terhalang oleh beberapa orang tetamu yang ingin berbual dengan beliau, peluang yang muncul tidak disia-siakan apabila ajakan untuk bergambar bersama dengan YB disambut dengan amat baik sekali.

Ahad, 29 Mac 2009

Itu bukan saya!

Laporan dari Berita Harian bertarikh 29 Mac 2009 :

Lelaki cuba hampiri PM kena tahan


SEORANG lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan apabila cuba menghampiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika upacara memotong pulut kuning pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata pengawal peribadi Perdana Menteri menyedari lelaki terbabit berkelakuan mencurigakan dan menahannya sebelum menyerahkannya kepada polis.

"Lelaki berkenaan ditahan bagi membolehkan kita mengetahui motifnya berbuat demikian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan majlis, sebaliknya semuanya berlangsung dalam keadaan terkawal dan aman.

Bagaimanapun tidak mustahil suatu hari nanti saya akan turut ditahan seperti lelaki tersebut ketika cuba menghampiri pemimpin tertinggi parti politik atau kerajaan semata-mata demi menyempurnakan misi suci saya untuk bergambar dengan mereka.

Sabtu, 28 Mac 2009

Misi Kedua


Misi kedua kali ini adalah menerjah seramai mungkin pemimpin politik yang berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung UMNO 2008 yang bermula 24 Mac yang lalu dan berakhir hari ini, 28 Mac.

Tujuan terjahan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk bergambar bersama mereka.

Setelah menunggu beberapa jam sambil mengikuti ucapan para pemimpin di layar skrin besar, akhirnya perhimpunan ditamatkan dengan lagu Negaraku dan salawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Maka berbondong-bondonglah para perwakilan dan barisan kepimpinan yang baru dipilih keluar dari dewan perhimpunan.

Dengan ehsan seorang kawan yang kebetulan terserempak di sana, dan sanggup dipergunakan sebagai tukang tangkap gambar, maka inilah hasil dari misi yang telah dijalankan :

Saya & Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim

Saya, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin & Senator Tan Sri Muhammad bin Haji Muhammad Taib

Saya & Sdra. Sohaimi Bin Shahadan (Exco Pemuda UMNO Malaysia)


Panahan lampu 'flash' kamera yang bertalu-talu di satu lokasi menarik perhatian saya. Dengan puluhan jurugambar yang ada, saya cuba juga menerjah dan mencelah untuk melihat siapakah yang sedang dimandikan dengan lampu 'flash' tersebut.

Terlihat kelibat tokoh yang amat dikenali ramai itu, saya pun turut tumpang memanjangkan tangan untuk mengambil gambar 'snap' tokoh tersebut.

Hasilnya...


...ter'snap' gambar isteri tokoh tersebut la pulak. Sekurang-kurangnya belakang kepala tokoh yang berbaju ungu tersebut masuk juga dalam gambar, kira O.K lah.

Jumaat, 27 Mac 2009

Edisi Menyampuk : Mari merakyatkan Khairy


Berita Harian (BH) : APAKAH amanat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada saudara selepas memenangi Ketua Pemuda?

Khairy Jamaluddin (KJ) : Beliau mahu saya menjaga Umno dengan baik dan bekerja kuat serta menasihati tiada jalan pintas untuk berjaya dalam perjuangan.

PemudaGagasan (PG) : Saya juga nak nasihatkan, jalan perjuangan tu banyak persimpangannya, jadi pilihlah simpang jalan yang betul, dan jangan lupa beri lampu isyarat sebelum membelok masuk ke simpang kiri atau kanan.

BH : Reaksi saudara ketika keputusan diumumkan?

KJ : Saya berserah kepada Allah terhadap apa jua keputusan . Saya seperti tidak percaya dan hendak kata tension tidak juga kerana menunggu (keputusan) terlalu lama.

PG : Jika calon-calon menerima proses pengundian berkomputer, pastinya Khairy tidak perlu merasa tension menunggu keputusan terlalu lama. Khairy perlu memastikan pemilihan UMNO pada masa hadapan, paling tidak pun untuk sayap Pemuda, akan menjalankan proses pengundian berkomputer tersebut.

BH : Apakah fokus utama dan pendekatan baru yang ingin saudara lakukan selepas dilantik sebagai Ketua Pemuda?

KJ : Saya hendak mendekatkan Pemuda dengan rakyat dan kembali kepada program mesra rakyat seperti Pemuda masuk kampung dan menggubal program baru seperti mendampingi pelajar universiti. Kita perlu kembali kepada rakyat.

PG : Untuk mendampingi, perlulah bersedia untuk didampingi. Kalau saban waktu Khairy dikelilingi oleh kawan-kawan yang setia dan memang dah rapat dengan Khairy, bagaimana ahli-ahli Pemuda biasa mahupun rakyat ingin mendampingi Khairy?

BH : Pertandingan tiga penjuru memilih Ketua Pemuda dilihat membawa perpecahan kerana selepas pengumuman kemenangan saudara, berlaku kekecohan antara penyokong di luar dewan persidangan?

KJ : Kekecohan itu mungkin disebabkan penyokong yang emosi kerana mereka sudah berkempen enam bulan dan menunggu keputusan hampir 10 jam. Saya kesal apa yang berlaku tapi tidak menyalahkan mana-mana pihak. Saya akan berjumpa penyokong Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dan memastikan tiada pihak meminggirkan mereka.

PG : Rasanya BH yang cuba membawa perpecahan. Apa yang berlaku hanya kekecohan akibat rasa tidak puas hati yang bersifat sementara.

BH : Apakah komen saudara mengenai politik wang?

KJ : Kita perlu bermuhasabah diri dalam politik wang. Kita kena memahami apakah tataetika Umno dan menghalusinya kerana ada ahli dan perwakilan mengatakan ia terlalu ketat sehingga hendak belanja minum pun rasa bersalah. Mungkin kita boleh melihat tataetika lebih realistik dalam Umno. Apa yang berlaku hari ini seolah-olah apa yang kita buat salah, sedangkan kita meraikan perwakilan dengan cara budaya Melayu yang sudah menjadi pincang ketika ini.

PG : Bermuhasabah 'dalam' politik wang? Sambil tangan menerima huluran wang kertas, sambil tu bermuhasabah "Hari ni dapat sekian banyak, esok pun insyaAllah dapat lagi, wah.. makin kaya aku!!...Alhamdulillah..." macam tu ke Khairy?

BH : Mungkin ada cadangan membubarkan Lembaga Disiplin?

KJ : Kita tidak sampai ke tahap drastik itu, tapi mungkin kita boleh melihat semula pada tataetika parti. Kalau tataetika ketat seperti tidak boleh mengedar kad calon, kita kena lebih realistik. Mungkin cara kita menghukum juga perlu lebih adil sebab pengalaman saya juga ada satu dua kesalahan dikenakan walaupun calon itu tidak terbabit.

PG : Kenapa benda yang cacat sikit, kita nak hapuskan atau mansuhkan? Bukankah lebih baik diperelokkan dan dinaiktarafkan supaya boleh diterimapakai oleh semua pihak? Jadi bagi saya Lembaga Disiplin tidak perlu dibubarkan, tetapi di'energize'kan dengan pertukaran ahli-ahli Lembaga Disiplin yang lebih berkarisma dan berintegriti.

BH : Karier politik saudara sebelum ini dianggap berkubur selepas peralihan kuasa tetapi menang pada pemilihan Pemuda?

KJ : Saya bersyukur dan selepas merenung serta mengimbas kempen, saya melihat kejayaan itu kerana kerja kuat seperti melawat hampir separuh rumah perwakilan, malah saya pernah mencari rumah perwakilan di Kota Marudu pada jam 2 pagi. Saya turun padang dan memberi penjelasan pelbagai isu membabitkan saya dan itu kunci kejayaan saya.

PG : Maaflah Khairy, bukan niat nak mengata, namun perlu diakui, apabila berkehendakkan jawatan dan kuasa, sampai ke lubang cacing pun sanggup diterokai semata-mata untuk meraih undi dan sokongan. Oleh itu, jika Khairy ingin keluar dari budaya hangat-hangat tahi kucing ( bukan tahi kucingpembela :-) ) tersebut, Khairy mesti terus turun ke peringkat akar umbi (Pemuda Cawangan-cawangan, bukan setakat Bahagian sahaja!) untuk merapatkan jurang yang telah dipisahkan oleh budaya kasta antara pemimpin dan ahli-ahli biasa di dalam UMNO.

BH : Apa yang saudara ingin katakan pada Mohd Khir dan Mukhriz?

KJ : Teruskan perjuangan, kedua-dua pemimpin ini adalah aset penting kepada Umno. Mereka mempunyai pandangan bernas mengenai hala tuju Pemuda

PG : Hentikan budaya merajuk bila kalah. Perjuangan masih belum selesai. Jangan jadikan jawatan itu sebagai matlamat, tapi jadikannya sebagai alat untuk lebih gigih berjuang dan berkhidmat.

Sumber : Berita Harian

Khamis, 26 Mac 2009

Tahniah : Sila tunggu selepas 3 tahun

Dari peringkat pemilihan cawangan, seterusnya ke bahagian hingga ke pusat, sesuatu yang menjadi budaya di dalam UMNO (tidak kurang juga di luar UMNO) adalah mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang terpilih menyandang jawatan bagi 3 tahun berikutnya.

Apabila saya telah dipilih sebagai pemegang jawatan di dalam parti, ucapan tahniah bertalu-talu masuk melalui SMS dan telinga.

Untuk tidak berlaku kurang sopan dengan menolak pemberian 'tahniah' tersebut, saya mengucapkan terima kasih kepada yang memberikan tahniah.

Namun dalam minda saya bertanya, apa yang telah saya lakukan?

Apakah yang telah saya sumbangkan kepada parti sehingga layak untuk ditahniahkan, sedangkan hanya baru beberapa ketika nama saya diumumkan sebagai penyandang jawatan (baca: amanah)?

Adakah dengan lelehan air liur basi yang saya sumbangkan semasa tertidur akibat menunggu pengumuman keputusan pemilihan yang masih tak kunjung tiba walaupun sudah larut malam, melayakkan saya untuk menerima ucapan tahniah tersebut?

Tunggulah...

Tunggulah sehingga penggal selama 3 tahun ini berakhir.

Di penghujung penggal itu, nilailah seamanah mana saya telah jalankan tanggungjawab dan tugas saya.

Nilailah sebanyak mana sumbangan yang telah saya berikan sepanjang penggal.

Nilailah sejauh mana keikhlasan saya memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair saya.

Di penghujung penilaian, terpulanglah...

...tahniah atau takziah atau tak nak dah... saya akan terima dengan hati yang amat senang kerana saya telah dinilai berdasarkan apa yang telah saya lakukan, bukan kerana apa yang mungkin atau akan saya lakukan.

Rabu, 25 Mac 2009

Misi Pertama - BERJAYA!

Alhamdulillah, hari ini dengan rasminya blog PemudaGagasan telah diterima dan tersenarai sebagai Ahli Bloggers Pembela Negara.

Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua BPN, Panglima Perang Cyber yang telah sudi menerima kehadiran PemudaGagasan untuk bersama dalam Satu Suara, Satu Arah dan Satu Akidah bagi mempertahankan dan memelihara nilai-nilai dan rukun negara Malaysia yang tercinta ini.

Catatan terdahulu :
1. Misi Pertama
2. Misi Pertama di peringkat akhir
3. Misi Pertama - Kemaskini

Selasa, 24 Mac 2009

Saya & Mukhriz

Malam semalam saya berkesempatan menyertai Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Solat Hajat untuk mendoakan kejayaan Dato' Mukhriz agar terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru.

Majlis tersebut diadakan di kediaman ayahandanya, Tun Dr. Mahathir yang terletak di The Mines, Seri Kembangan.

Mungkin ramai yang berharap untuk bersua dengan TDM, namun TDM tiada di situ kerana memenuhi jemputan di tempat lain.

Mungkin untuk mengubat kehampaan kerana tidak dapat bertemu dengan TDM, ada tetamu yang bergambar dengan koleksi kereta TDM.

Kembali kepada Dato' Mukhriz, merujuk kepada gambar di atas, mungkin itu sahajalah peluang untuk dapat bergambar bersama beliau, seandainya beliau terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, esok.

Ketua Pemuda yang bakal terpilih, tidak akan mempunyai masa untuk berbulan madu, kerana sebaik sahaja tamat perhimpunan agung UMNO, tugas berat menanti iaitu menggerakkan jentera pilihan raya di 2 bukit dan 1 batang.

Selepas itu, mungkin di Bukit Lanjan atau di Penanti, wallaahu'aklam.

Selepas itu, mungkin akan di angkat menganggotai kabinet Perdana Menteri yang baru.

Dengan tugas sebagai Ahli Parlimen, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Menteri, sudah pasti peluang untuk saya bersalaman dan memeluk Dato' Mukhriz selepas ini (sekiranya beliau menang esok) akan hanya tinggal impian... seperti mana impian saya sebelum ini yang tidak tertunai untuk bergambar bersama bakal mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin, walaupun mengenali pegawai khas, pemandu dan pembantu pegawai khas Dato' Seri.

Khamis, 19 Mac 2009

Debat maya BPN lwn. BNM gagal

Malam tadi saya agak lewat 'online' kerana balik lambat ke rumah iaitu dalam pukul 10.30 malam.

Menjangkakan tentu sessi debat dalam Yahoo! Messenger masih belum tamat, saya terus mendaftar masuk.

Sebaik sahaja masuk, saya dialu-alukan dengan pesanan dari Yang Di-Pertua BPN, Panglima Perang Cyber bahawa lokasi perdebatan telah dipindahkan ke ruangan Chatroll Bloggers Pembela Negara.

Menjengah ke chatroll tersebut, saya memerhatikan senarai nama-nama pengunjung, namun tidak kelihatan kumpulan dari BNM.

Adakah sessi perdebatan sudah tamat?

Setelah beberapa ketika melayarkan diri di dalam chatroll tersebut, barulah diketahui debat malam tadi memang tidak terhasil kerana geng BNM menolak untuk diadakan perdebatan secara maya memandangkan cabaran asal adalah untuk berdebat secara nyata di lokasi dan tarikh yang akan ditentukan.

Sepertimana lazimnya para pemimpin politik akan berkata-kata apabila timbul sesuatu isu, bacalah kata-kata dari dua orang pemimpin (kalau boleh dikatakan sedemikian) dari pihak BPN dan BNM, mengulas berkenaan kegagalan perdebatan secara maya antara BPN dan BNM malam tadi :

Perisik Rakyat® - Blogger BPN: Pejuang Hampas..!

Panglima Perang Cyber - Cabaran Debat Diteruskan Malam Ini antara BPN dan BN

Rabu, 18 Mac 2009

Hebahan : Debat Umum - Bloggers Pembela Negara vs. BloggerNetwork@malaysia

Kepada semua pembaca dan blogger pro Pakatan Rakyat dan BN ataupun entiti neutral.
Dipersilakan untuk menghadiri Debat Perdana BNM(blogger-blogger pro Pakatan Rakyat) vs BPN 9 malam ini..

Debat ini akan diadakan secara maya melalui aplikasi Yahoo Messenger..
Untuk itu anda boleh menambah ID Panglima Perang Cyber di aplikasi Yahoo Messenger anda seperti di bawah..
panglimaperangcyber@yahoo.com
ataupun ID Kumbang..
kumbang_aidc@yahoo.com
Untuk makluman lanjut rujuk posting PPC di sini..

Misi Pertama - Kemaskini

Sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang keputusan dari Yang Di-Pertua BPN sama ada melalui Chatroll, E-mel, Yahoo! Messenger mahupun melalui ulasan di blog ini berkenaan kelulusan permohonan saya untuk menyertai Bloggers Pembela Negara.

Saya yakin saya telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan.

Andaian saya, mungkin Yang Di-Pertua mahu menilai terlebih dahulu kandungan dan keaktifan blog ini sebelum membuat keputusan beliau. Wallaahu'aklam.

Catatan terdahulu :
1. Misi Pertama
2. Misi Pertama di peringkat akhir

Selasa, 17 Mac 2009

one PLUS one EQUAL ?

Bila dibangkitkan isu PPSMI ini, pastinya soalan yang wajib dikemukakan adalah: setuju atau tidak setuju untuk diteruskan atau dimansuhkan.

Bagi saya yang sempat menduduki peperiksaan UPSR yang baru diperkenalkan ketika itu, kemudian antara generasi penghujung pelajar yang menduduki SRP, rasanya memang tiada masalah jika matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Melayu.

Apabila melihat pula kepada jumlah dan syllabus matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah ketika ini yang mungkin sekali atau dua kali ganda banyaknya dari apa yang saya pelajari dulu, rasanya pelajar zaman ini juga tidak mempunyai masalah untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan menggunakannya di dalam 2 matapelajaran yang berkenaan.

Pelajar luar bandar yang menghadapi kesukaran belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sehingga menyumbang kepada kemerosotan prestasi mereka di dalam 2 matapelajaran berkenaan, adalah antara alasan bagi mereka yang mahu memansuhkan PPSMI.

Bagi saya, alasan tersebut sebenarnya menghina para pelajar luar bandar ini dengan merendah-rendahkan kemampuan mereka, atau dengan ayat mudahnya, pelajar luar bandar ini 'tidak pandai'.

Seharusnya tidak timbul perbezaan antara kedudukan pelajar tersebut di dalam isu PPSMI ini sama ada di bandar atau di luar bandar. Jika ada pun perbezaan antara keduanya, hanyalah dari segi budaya hidup pelajar-pelajar tersebut.

Manakala dari segi kesungguhan dan kemampuan seseorang pelajar itu, adalah terletak pada pelajar itu sendiri tanpa mengira di mana dia berada.

Yang kurang pandai boleh menjadi pandai jika berusaha, yang pandai boleh berkurangan pandainya jika tidak berusaha mengekal atau menambah kepandaiannya.

Jika seorang manusia seperti Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dikatakan boleh bertutur dengan fasih dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu, tidaklah pula beliau dilihat hilang identiti keMelayuannya.

Oleh itu, alasan yang mengatakan penggunaan Bahasa Inggeris boleh menyebabkan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu semakin terpinggir juga tidak boleh diterima.

InsyaAllah, apabila anak-anak saya memasuki alam persekolahan nanti, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan dorongan kepada mereka untuk berjaya di dalam pelajaran mereka, tidak kira apa jua matapelajaran atau apa jua bahasa yang diajarkan.

Ahad, 15 Mac 2009

Baju USD$50,000 untuk Madihah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membeli pakaian angkasawan yang pernah dipakai oleh Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang bernilai AS$50,000 (RM184,600).

Tujuan pembelian pakaian tersebut sebagai simbol kejayaan seorang bekas pelajar di bawah institusi Mara yang juga merupakan angkasawan Melayu pertama. (berita penuh...)

Dalam hal ini, saya perlu bersetuju dengan apa yang dinyatakan di dalam kebanyakan blog-blog pro-pembangkang bahawa ini adalah satu bentuk pembaziran di kala rakyat kini semakin tertekan dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum.

Baru-baru ini kita dipaparkan dengan kehidupan seorang pelajar cemerlang yang mendapat 20A dalam keputusan SPM tahun 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal.


Siapa sangka di sebuah rumah nelayan yang usang terdapat sebutir permata yang amat berharga, yang sekiranya digilap berterusan akan memancarkan kilauan yang boleh menerangi kegelapan generasi pewaris negara pada masa akan datang.

Suku sahaja dari harga baju tersebut sudah cukup untuk menaiktaraf atau membina semula sebuah rumah yang lebih selesa untuk Madihah sekeluarga.

Walaupun hidup dalam kemiskinan harta, namun kedua ibu bapa Madihah tidak pernah miskin dengan kasih sayang dan doa serta harapan untuk melihat adik Madihah berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang insan yang berguna di masa hadapan.

Adalah lebih baik MARA melaburkan peruntukannya untuk melahirkan bakal-bakal ahli profesional seperti Dr. Muszaphar daripada melahirkan simbol-simbol yang hanya boleh ditatap tetapi tidak memberikan apa-apa faedah kepada rakyat.

Jumaat, 13 Mac 2009

Misi Pertama di peringkat akhir

Alhamdulillah, misi pertama untuk menyertai Bloggers Pembela Negara kini berada di peringkat akhir bagi mendapatkan kelulusan oleh Yang Di-Pertua Bloggers Pembela Negara.

Kini hanya menunggu ketibaan Tuan Yang Di-Pertua untuk membuat lawatan tapak di laman blog ini bagi menentukan sama ada syarat-syarat yang diperlukan telah sempurna di laksanakan atau tidak.

Catatan Berkaitan : Misi Pertama

Resolusi BPN 5/2009 : Mengutuk tindakan membuat Sidang DUN Perak tanpa Perkenan Sultan

BPN mengutuk tindakan pakatan pembangkang yang berdegil ingin mencabar kedaulatan kuasa Sultan Perak yang tidak memperkenankan sidang DUN walau sudah diberi amaran oleh banyak pihak.

BPN mengutuk tindakan mana-mana pihak yang menjadikan agenda politik lebih utama dari kestabilan dan keamanan rakyat Perak.

BPN juga meminta rakyat tidak menyokong tindakan yang jelas menderhaka kepada Sultan ini yang boleh mencetuskan huru hara di sana.

BPN meminta tindakan lebih tegas dari pihak berkuasa untuk menghentikan permainan gila politik pembangkang ini yang sudah keterlaluan tanpa mengira untuk menunaikan janji janji mereka semasa PRU yang lalu.

BPN turut meminta agar DUN Perak tidak dibubarkan demi menjimatkan wang rakyat dan mengelakkan keadaan dan suasana semakin tidak terkawal jika pilihanraya diadakan sekali lagi di negeri Perak.

BPN memohon campur tangan Raja Raja Melayu dalam isu ini agar menyedarkan rakyat tentang kuasa yang dimiliki oleh Majlis Raja Raja sebagai Parlimen Ketiga yang Tertinggi dan mengatasi mana mana kuasa yang ada di negara kita.

DAULAT TUANKU !!!!

Yang benar,

BLOGGERS PEMBINA NEGARA

Disediakan oleh :

Panglima Perang Cyber

Yang Di-Pertua
Bloggers Pembela Negara

Khamis, 12 Mac 2009

Pelajar perempuan tingkatan 4 hilang dicari

KOTA BHARU: Hilang tanpa sebarang pesanan, seorang pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Chandi, Pasir Mas, Marliana Makhtar, 16, dicari selepas tiga hari tidak pulang ke rumah.

Beliau yang dikatakan seorang anak yang baik dan tidak pernah mempunyai masalah dengan kedua ibu bapanya itu tidak pulang ke rumah setelah meminta izin keluar ke sekolah pada petang 10 Mac lalu.

Ibunya, Rosnah Hamad, 50 seorang peniaga kecil-kecilan berkata, kali terakhir beliau bercakap dan menemui Marliana apabila anak kelima daripada tujuh beradik itu hanya memberitahu mahu keluar menyertai program di sekolahnya tiga hari lalu.

"Dia cuma beritahu nak ke sekolah kerana ada program. Saya hanya membenarkan kerana tiada apa perubahan pelik pun pada dirinya.

"Bagaimanapun, sejak keluar dari rumah petang itu, dia langsung tidak pulang menyebabkan saya dan suami, Makhtar Ibrahim, 51 mula bimbang kerana setahu kami dia tidak pernah mempunyai masalah atau berselisih faham dengan kami," katanya.

Rosnah berkata, seorang rakan baik Marliana yang ditemuinya berkata, anaknya itu ada memberitahu mahu ke Johor menemui teman lelakinya yang bekerja di sana.

Bagaimanapun, teman lelakinya itu ketika dihubungi mengatakan Marliana tidak datang menemuinya.

"Bimbang dan buntu dengan keselamatannya yang hilang secara tiba-tiba tanpa meninggalkan sebarang pesanan dan meminta wang pun daripada saya dan suami menyebabkan kami telah membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas tengah hari tadi," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat Marliana menghubungi suaminya, Makhtar di talian 014-8388638. - Bernama

Misi Pertama

Misi Pertama : Menjadi ahli Bloggers Pembela Negara (BPN)

Syarat-syarat menjadi ahli dan kekal sebagai ahli :-

1. Menyiarkan Logo BPN berserta pautan ke laman blog rasmi BPN di http://parlimenbpn.blogspot.com SIAP!

2. Menyiarkan dan mengemaskini resolusi-resolusi yang telah diluluskan oleh pihak BPN dari masa ke semasa. SIAP!

3. Menyiarkan dan mengemaskini suapan (RSS feeds) dari laman-laman blog ahli-ahli BPN. SIAP!

4. Berdaftar dengan penyedia perkhidmatan sembang dalam talian secara percuma di http://www.chatroll.com untuk menyertai bilik sembang 'Bloggers Pembina Negara' SIAP!

5. Menyiarkan kotak bilik sembang Chatroll 'Bloggers Pembela Negara' di laman blog. SIAP!

6. Berdaftar dengan perkhidmatan dalam talian secara percuma di http://www.yahoo.com bagi membolehkan penggunaan aplikasi 'Yahoo! Messenger' sebagai wadah perhubungan rasmi antara ahli dan pengurusan BPN. SIAP!

7. Memaklumkan kepada Yang Di-Pertua BPN atau Timbalan Yang Di-Pertua BPN setelah syarat-syarat di atas dilaksanakan sebelum diterima menjadi ahli Bloggers Pembela Negara yang sah. (Dimaklumkan melalui e-mel kepada Yang Di-Pertua pada 13 Mac 2009)

8. Tahniah! Permohonan anda berjaya. Sila pastikan aplikasi 'Yahoo! Messenger' anda sentiasa aktif untuk menerima makluman-makluman terkini dari pihak BPN.

Catatan Pertama

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Saya, PemudaGagasan, dengan ini merasmikan pembukaan blog PemudaGagasan yang beralamat di :

http://pemudagagasan.blogspot.com

Disempurnakan perasmiannya pada tanggal 12 Mac 2009, jam 2.13 petang.

Sekian.